Skip to main content

Log Terkini

Pembuatan Gajet

Pada perjumpaan kali ini, kami diajar tentang cara membuat gajet menggunakan beberapa jenis ikatan. Proses membersihkan buluh Proses mencantumkan 3 batang buluh Tripod yang telah siap dibina

Sejarah Pengakap


SEJARAH PENGASAS PENGAKAP, LORD BADEN POWELL


          Lord Baden-Powell adalah merupakan pengasas pengakap dan beliau adalah merupakan pegawai tentera British. Beliau dilahirkan di Paddington, London pada 22 Februari 1857 dan merupakan anak keenam daripada lapan orang adik-beradik. Bapa beliau adalah merupakan profesor di Universiti Oxford, London. Bapa beliau meninggal dunia ketika beliau berusia 3 tahun. Oleh itu, Baden Powell bersama-sama adik-beradiknya yang lain dibesarkan oleh ibunya iaitu Henrietta Grace Smyth.
          Baden Powell bersekolah di Sekolah Charterhouse dan belajar kemahiran asas dalam pengakap dengan bermain di hutan yang berhampiran dengan sekolahnya. Selepas tamat sekolah, beliau menyertai tentera British sebagai pegawai dan dihantar bekerja di India. Beliau bekerja sebagai tentera British pada tahun 1876 hingga 1910. Semasa bekerja sebagai tentera, beliau mempelajari lebih banyak kemahiran dalam pengakap dengan lebih mendalam terutamanya semasa beliau berada di Afrika Selatan yang mana pengetahuan mengenai kawasan luar bandar adalah penting untuk mendapatkan maklumat dan mengelakkan diri daripada diserang oleh musuh. Baden Powell berlatih dan mengasah kemahiran pengakapnya dengan puak Zulu  pada awal tahun 1880-an di tanah jajahan Natal Afrika Selatan yang mana rejimennya ditempatkan dan namanya digunakan sebagai komunkasi untuk mendapatkan maklumat. Disebabkan kemahirannya yang amat penting untuk mendapatkan maklumat, beliau kemudiannya dipindahkan untuk bekerja sebagai perkhidmatan rahsia tentera British.
          Pada tahun 1878, beliau dilantik menjadi Pengawai memerintah Pasukan ke-5 Dragoon Guards di India. Pada tahun 1887, beliau telah dihantar ke Afrika bersama-sama askarnya melawan kaum Zulu, dan beliau telah berjaya menawannya. Selepas itu beliau telah ditugaskan untuk melawan bangsa Ashanti. Bangsa Ashanti terkenal sebagai bangsa yang garang. Tetapi bangsa Ashanti sangat menakuti Baden Powell, sehingga beliau diberi gelaran "serigala yang tidak pernah tidur" atau "Impeesa" kerana keberanian dan kecekapannya. Pada tahun 1899, beliau telah dinaikkan pangkat menjadi Kolonel.
Huru-hara telah tercetus di antara kerajaan British dengan negeri Transvaal sehingga perhubungan kedua-dua negara menjadi sangat genting, dan Powell telah diberikan tugas untuk menubuhkan dua batalion askar berkuda untuk ke Afrika Selatan. Beliau telah mempertahankan bandar Mafeking selama 217 hari daripada dikepung musuh yang mempunyai bilangan askar yang sangat ramai. Peristiwa ini berlaku pada 13 Oktober 1899 hingga 18 Mei 1900, sehinggalah bantuan dari pihak British datang menembusi kepungan musuh.
Pada 1899 Semasa musuh mengepung bandar Mafeking, beliau telah menggunakan kanak-kanak sebagai utusan dan pemberitahuan menggantikan askar di medan peperangan Kapten Tusan. Kepantasan dan kecekapan kanak-kanak ini telah memberi dorongan kepada beliau untuk seterusnya menubuhkan pergerakan Pengakap. Selepas peristiwa ini, beliau telah dinaikkan pangkat menjadi Major Jeneral yang termuda.
Kesan daripada bantuan kanak-kanak di bandar Mafeking, beliau telah mula merangka rancangannya pada tahun 1906 dan pada tahun 1907 beliau telah siap menulis buku "Aids to Scouting". Semua pengalaman semasa di Afrika telah dikumpulkan dalam buku tersebut. Pada tahun 1907, Baden Powell telah diundang untuk memeriksa satu pembarisan pergerakan Brigade Muda oleh pengasas pergerakan ini, Sir William Smith. Baden Powell telah berbincang dengan Sir William Smith serta pergerakan pekerja muda yang lain untuk mengadakan satu perkhemahan terkenal di Pulau Brownsea di Poole Harbour. Perkhemahan bermula pada 25 Julai hingga 9 Ogos 1907. Beliau merupakan "Scout Master" atau Pemimpin Pengakap dalam perkhemahan tersebut. G W Green. H Robson dan P W Everett merupakan penolong-penolong Baden Powell.
Perkhemahan tersebut telah memberi daya penggerak kepada BP untuk menulis dan mengemaskini semula buku "Aids to Scouting" kepada "Scouting for Boys". Buku ini merupakan panduan asas pergerakan Pengakap sehingga hari ini. Buku tersebut juga diterjemahkan kepada lima jenis bahasa lain lalu disebar di seluruh dunia. Penubuhan banyak kumpulan baru telah memberi keyakinan kepada beliau untuk meneruskan perjuangan beliau dalam Pengakap sepanjang hayatnya. Beliau telah berhenti berkhidmat dalam askar semasa beliau berpangkat Leftenan Jeneral.
       Semasa tercetusnya Perang Dunia Pertama, kumpulan-kumpulan Pengakap turut mengambil bahagian dalam mempertahankan negara England. Antaranya ialah pengawasan tepi laut oleh Pengakap Laut. Dalam tahun 1919, Lord Baden Powell telah mengadakan satu tapak perkhemahan Pengakap yang pertama di dunia dan dikenali sebagai Gilwell Park di London. Gilwell Park juga merupakan tempat latihan ahli dan pemimpin Pengakap yang terulung di dunia.
       Pada tahun 1920, Pengakap dari seluruh dunia telah berkumpul di London untuk menghadiri jambori dunia pertama. Jambori itu diadakan di Richmond Park, sebanyak 6000 Pengakap Muda dari dua puluh buah negara menghadiri jambori tersebut. Richmond Park terletak di Olympia, London. Pada malam akhir jambori ini, BP telah diisytiharkan menjadi Pengakap Agung Dunia atau Chief Scout of the World.
       Pergerakan Pengakap terus berkembang ke negara-negara lain sehingga apabila genap usia penubuhannya yang ke-21 tahun, keanggotaannya melebihi dua juta orang. Disebabkan kejayaan ini, Baden Powell telah dianugerahkan darjah kemuliaan yang tertinggi di England iaitu Lord, dan diberi gelaran Lord Baden Powell of Gilwell. King George V merupakan penganugerah yang menjadikan BP seorang Baron. Lord Baden Powell of Gilwell adalah diberi sempena Gilwell Park.
       Pada tahun 1937 sewaktu usianya 80 tahun, beliau telah sakit tenat dan terpaksa berhenti dari pergerakan Pengakap di merata-rata dunia. Beliau bersama isterinya Lady Baden Powell atau Miss Olave Soames pengasas pergerakan pandu puteri telah berhijrah ke Kenya, Afrika. Beliau bermastautin di sebuah kampung yang aman permai selepas berkhidmat kepada dunia Pengakap selama 33 tahun.
       Pada 8 Januari 1941, beliau meninggal dunia di Paxtu, Kenya. Beliau disemadikan di Nyeri dalam lingkungan bayang-bayang gunung Kenya. Batu nisan beliau turut diukir "Robert Baden Powell, Chief Scout of World, born February 22nd 1857, died January 8th 1941." Logo Pengakap dan pandu puteri turut diukir pada batu nisan tersebut. Kuburnya telah diletakkan batu-batu berbentuk bulat dengan satu titik di tengah-tengah yang bermaksud "Gone Home". Kata-kata terakhir BP adalah seperti berikut: Tuhan memimpin dan membantu di dalam kerja-kerjamu.

SEJARAH PENGAKAP DI MALAYSIA
          Selepas dua tahun pengakap diasaskan oleh Lord Baden Powell di England, seorang peneroka pengakap dari London bernama F.C. Sands telah datang ke Singapura pada tahun 1910 dan kemudiannya menubuhkan dua pasukan pengakap untuk anak-anak orang Inggeris yang berada di Singapura.
          Pada tahun 1919, Kapten N.M. Hashim dan Encik A.Z.Alsagoff telah menubuhkan pasukan pengakap untuk anak-anak Melayu yang boleh menggunakan Bahasa Inggeris di Singapura.
          Negeri melayu yang pertama sekali menubuhkan pasukan pengakap ialah negeri Pahang, iaitu di Pekan. Pasukan Pengakap ini ditubuhkan oleh G.M.Laidlow tetapi selepas beliau meninggal dunia, pergerakan pengakap di Pekan semakin perlahan. Namun begitu, pada tahun 1972, pergerakan pengakap di Pekan dihidupkan semula oleh H.P.Hertslet yang kemudiannya diasaskan oleh Wheeler dan Frisby dari Pejabat Pelajaran Pahang.
          Di Pulau Pinang, pergerakan pengakap telah ditubuhkan oleh seorang ahli pendidik yang termasyhur, iaitu H.R. Cheesman di Penang Free School pada tahun 1915. Cheesman telah berkhidmat selama 13 tahun dalam pergerakan pengakap di Malaya, sebagai Penolong Pesuruhjaya Pengakap Malaya.
Di Perak, pengakap telah ditubuhkan pada tahun 1926, iaitu di Maktab Melayu Kuala Kangsar oleh I.R.Wheeler. Selepas itu, banyak sekolah di Perak menubuhkan pasukan pengakap. Di Kedah, pergerakan pengakap bermula pada tahun 1922. Peneroka pengakap di Kedah ialah E.C.Hicks, E.A.G.Stuart, R.P.S.Walker dan C.W.Bloomfield. Di Johor, pengakap ditubuhkan pada awal tahun 1928, iaitu dengan kedatangan Cheesman dari Pulau Pinang. Kumpulan yang pertama ditubuhkan ialah di English College (kini Maktab Sultan Abu Bakar) Johor Bahru. Manakala pergerakan pengakap di Melaka dan Negeri Sembilan bermula pada tahun 1926 oleh Brunstone.
Pada tahun 1926, Selangor pula menubuhkan gerakan pengakap dan orang yang bertanggungjawab menubuhkannya ialah Ameen Akbar. Ini diikuti oleh penubuhan pergerakan pengakap di Terengganu pada tahun 1927 oleh A.J.Gracle dan di Kelantan (1927) oleh Y.M.Tengku Ahmad Temenggong. Negeri yang terakhir di Semenanjung menubuhkan pergerakan pengakap ialah Perlis pada tahun 1931.
Sabah telah menubuhkan pergerakan pengakap di Sandakan pada tahun 1915. Sementara di Sarawak ia ditubuhkan pada tahun 1913, tetapi pergerakan pengakap terhenti sehinggalah pada tahun 1930 apabila ia bergiat semula.
Sebelum merdeka, Persekutuan Budak-budak Pengakap Tanah Melayu meliputi semua negeri, dengan tiap-tiap sebuah negeri sebagai satu daerah pengakap. Selepas Perang Dunia Kedua, pergerakan pengakap di Malaya dan Singapura dimasukkan menjadi cawangan Persekutuan Pengakap Great Britain. Selepas diadakan penyusunan semula, tiap-tiap negeri menjadi satu persekutuan yang terdiri daripada beberapa daerah pengakap. Setiap daerah mempunyai persekutuan pengakapnya.
            Apabila Malaya mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957, Persekutuan Budak-budak Pengakap Persekutuan Tanah Melayu menjadi ahli penuh dalam Persidangan Pengakap Dunia. Dengan wujudnya Malaysia pada tahun 1963, namanya bertukar menjadi Persekutuan Pengakap Malaysia dan keahliannya menjadi besar kerana Sabah, Sarawak dan Singapura menjadi anggotanya.
Rumah Baden Powell yang terletak di Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur, ialah ibu pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia, yang telah didirikan dengan kos sebanyak RM150 ribu dan telah dibuka dengan rasminya pada 5 Januari 1957 sempena menyambut perayaan ulang tahun yang ke-50 Pengakap Dunia. Rumah Baden Powell adalah nadi pergerakan pengakap seluruh Negara. Di sinilah Ketua Pesuruhjaya Negara mengarahkan segala gerak kerja Persekutuan Pengakap Malaysia.

Comments

Log Paling popular

Pembuatan Gajet

Pada perjumpaan kali ini, kami diajar tentang cara membuat gajet menggunakan beberapa jenis ikatan. Proses membersihkan buluh Proses mencantumkan 3 batang buluh Tripod yang telah siap dibina

Perbarisan Pagi

Pada perjumpaan kali ini, semua sekawan diminta untuk berkumpul untuk membuat perbarisan pagi dan senaman pagi. Perbarisan pagi ini diketuai oleh seorang ahli KOR Suksis UNIMAS. Pensyarah sedang memberi taklimat kepada semua ahli sekawan   Semua sekawan sedang melaksanakan perbarisan pagi yang diketuai oleh ahli KOR Suksis UNIMAS

Masakan Rimba

Pada perjumpaan kali ini, semua ahli pengakap kumpulan biru bersama-sama memasak makanan menggunakan bahan asas iaitu tepung dan kentang. Kumpulan kami juga dibekalkan dengan ikan dan sayur. Kemahiran memasak menggunakan kayu api dapat diasah dan masakan yang dimasak dapat masak dengan sepenuhnya. Salah seorang ahli kumpulan sedang membakar ikan Ikan sedang menunggu untuk masak Ahli kumpulan sedang memasak sayur